Sunday, December 20, 2009

EPISOD 25 - AZAM TAHUN BARU

Salam hormat,

Kita tidak selalunya berada di atas, ada kalanya kita berada di bawah. Kerna hidup ini umpama roda. Mengejar waktu yang tidak pernah menunggu kita. Sama seperti diriku. Sepanjang kehidupanku, aku bisa mengerti perasaan apabila berada di atas. Juga pabila berada di bawah seperti saat ini.

Sempena melangkah ke tahun 1431H, aku juga bersemangat membina azam baru. Menyambung hasrat yang tidak kesampaian pada tahun sebelumnya. Penghijrahan telah bermula. Dan ia amat perlu dalam diriku kini. Berubah dari yang kurang baik kepada yang lebih baik dari keadaan sebelumnya. InsyaALLAH.

Apa yang aku alami kini tidak perlu aku tangisi. Tidak perlu aku kesalkan. Tidak perlu aku peningkan. Tidak perlu aku mengharap pada sesuatu yang datang dari kesilapan dan kealpaan aku sendiri. Tidak perlu aku mengalah. Cuma aku perlu juga menoleh sedikit ke belakang. Mengimbau kembali apa salahku? Apa alpaku? Apa yang aku lakukan? Apa yang aku rasa kini? Apa? Apa?

Persoalan yang asyik menerobos masuk ke kotak fikiranku kini. Mungkin aku tidak sedar yang aku melakukan perkara yang ditegahnya? Mungkin aku terlalu asyik dengan nikmat kurniaanNya? Mungkin aku sengaja melupakanNya buat seketika sedangkan Dia tidak pernah melupakan diriku? Mungkin aku terlalu pentingkan diri sendiri? Mungkin entah??

Apa-apapun, semuanya telah berlaku. Tak guna ditangisi, diratapi dan dikesali. YA..ada hikmah di sebalik semua ketentuan Ilahi. Aku perlu teruskan kehidupan, jalankan amanah yang diberi selaku khalifah Ilahi. InsyaALLAH, aku berusaha berubah menjadi wanita dan anak yang solehah.

"Ya ALLAH, ampunilah segala dosa-dosaku kerna kau Yang Maha Berkuasa ke atas diriku ini". Amin.


Monday, December 14, 2009

EPISOD 24- KARYA SPONTAN

Indah sungguh sebuah kehidupan
Diselangi tawa ria mahupun kesedihan
Setiap hari ditempuhi penuh cabaran
Dengan berbekalkan kesabaran
Mengerjakan amanah yang diberikan Tuhan
Kita hanya mampu membuat perancangan
Yang Maha Esa berkuasa menentukan
Segalanya adalah ketentuan
Kepada mereka yang bergelar insan
Tidak guna menyesal akan perbuatan
Setelah asyik dengan kealpaan
Hanya tersedar dari kesilapan
Setelah menerima balasan yang sepadan
Ingatlah wahai pembaca sekalian
Yang Maha Pencipta tidak pernah bosan
Tidak pernah alpa akan hambanya sekalian
Tanda sayang diberikan ujian
Mengajar erti ketabahan
Menyemai nilai kesabaran
Menguji dasar keimanan
Berbekalkan ilmu pengetahuan
Pabila merasa sebarang sesalan
Usah putus asa mencari jalan
Sentiasa menuju ke jalan kebaikan
Jauhkan diri elak kemungkaran
Perkara yang baik jadikan tauladan
Perkara yang buruk jadikan sempadan
Kelak cerah masa depan
Demi menjamin kemaslahatan
Diri dan sekalian makhluk ciptaan Tuhan
Berakhirlah sudah secebis coretan
Buat pedoman seisi kehidupan
Jangan dianggap sebagai gurauan
Atau madah puitis nukilan
Harap kalian renung-renungkan...







Sunday, November 15, 2009

EPISOD 23 - PENGORBANAN SEORANG BAPA

Salam hormat..
Sedikit cebisan kisah kehidupan..
Pengorbanan seorang bapa..
Pada suatu hari, si bapa bangun di awal pagi. Siapkan diri untuk ke bandar berjumpa dengan anak kesayangannya untuk menghantar keperluan anaknya yang kini melanjutkan pelajaran di menara gading di ibu kota. Perjalanan mengambil masa selama 4 jam. Sanggup meredah hujan dan panas demi menghantar keperluan si anak..berhimpit-himpit bersama lautan manusia menaiki pengangkutan awam. .
Apabila sampai di pintu menara gading si anak..si bapa menghubungi si anak akan ketibaannya. lalu si anak lantas mencari bapanya yang baru tiba. Alhamdulillah, mereka diberi kesempatan untuk berjumpa dan melepaskan rindu maing-masing. Si anak sedih melihat si bapa yang memutih rambutnya tercungap-cungap kepenatan kerna perjalanan untuk sampai ke bumi ilmu itu sahaja menelan berjam-jam lamanya. Lalu si anak, bertanyakan kepada si ayah perihal makan tengahari..si ayah dengan lambat berkata bahawa "ayah belum makan lagi nak..terlupa pulak sebab nak cepat sampai di sini'...lihat! pengorbanan si ayah...
Pantas, si anak mengajak ayahnya makan di kafe tempatnya menginap. Sambil berbual-bual sehingga usai makan, si ayah berehat dan membersihkan diri. Tepat jam 4.30 petang, si anak memutuskan untuk meminta tolong rakannya untuk menghantar dirinya dan bapanya menaiki pengangkutan awam untuk ke perhentian bas. Menghantar pulang si ayah.Maka, kedua-dua beranak tersebut sama-sama ke ibu kota..Sehinggalah si bapa selamat menaiki bas untuk pulang ke kampung halaman kembali..Si anak dari jauh melambai dan menangis dalam hati kerana terharu dengan penat lelah dan usaha si ayah yang sanggup berulang alik atau balik hari dari utara ke selatan dan kembali dari selatan ke utara dalam hanya tempoh 24 jam..
Si anak terus memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi dan memohon supaya kesemua ahli keluarganya yang sentiasa menyayanginya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan bahagia di dunia dan akhirat. Si anak seorang yang mahal air matanya..tetapi jika melibatkan keluarga tercinta, murah benar air matanya..
Pengajaran: Ibu atau bapa kita masing-masing sanggup melakukan apa sahaja tanpa menyatakan apa yang mereka rasa...demi anak-anak anugerah Ilahi. Oleh itu, sebagai seorang anak, jangan sekali-kali kita meninggikan suara, merungut atau menyakiti mereka..sesungguhnya tanpa mereka siapalah kita!!!

Wednesday, November 4, 2009

EPISOD 22 - KEMBALI MENULIS...


Salam kalian!

"Buku adalah kawan yang paling baik. Bercakap-cakaplah dengan buku, bersahabatlah dengan ilmu, dan bertemanlah dengan pengetahuan."

Maaflah sebab dah lama tak update blog ni. Lebih dari sebulan pulak tu. Bukannya sengaja ye semua! semenjak dua menjak ni busy sangat.."gelaran orang busy negara" masih terpahat untukku. he he..

Kini, aku sibuk menjalani peperiksaan akhir untuk semester kedua. Semoga apa yang aku usahakan membuahkan hasil. Apa yang pasti, aku tetap berpegang teguh dengan moto hidupku...USAHA + DOA + TAWAKAL = INSYAALLAH, BERJAYA!.

Oh ye, buat rakan-rakan seperjuangan...semoga berjaya! Masing-masing pulun mengulang kaji, membuat latihan, baca artikel atau jurnal, dan cuba menghafaz serta memahami. Lumrah biasa musim peperiksaan. Stay up sampai subuh..bertemankan muzik, nescafe, chikediss, chokichoki..itulah gelagat student. Mata pun macam panda..ada lingkaran hitam. Bila berjalan, terasa macam di awang-awangan..makan ikut mood! email, ym, friendster, facebokk dll tak sempat nak online..mesej org teristimewa tak sempat nak reply. call parents pon jarang..nak spent time with frienz also limited, apatah lagi nak hang out to watch movies, window shopping, pasar malam..semua ni biasa time exam week kan??? semua yang di list negatif belaka..tapi stil ada yang positif gak kan? contohnya, banyak melakukan amal ibadah..stay up tengah malam, buat solat tahajud..baca surah yassin setiap kali lepas maghrib, jaga solat dan solat di awal waktu, join program solat hajat dan bacaan yassin sempena exam beramai-ramai, rajin mencari kawan-kawan yang otai dan superb untuk study dan notes..group discussion, cari lecturer then ask for some tips, menjejakkan kaki dan bertapa di library, buat note and mind map dan macam-macam lagi lah..

Jadi, aku kini sedari yang semakin kita mendekatkan diri dan berkawan rapat dengan buku, maka ilmu kita akan semakin bertambah. Secara tak langsung, kita boleh mengkritik dan memberi pendapat yang bijak..bukan omong-omong kosong saja..tapi, untuk menjadi seorang ahli pemikir atau orang bijak..bukan senang..kena usaha lebih! bila dah belajar teori, kena aplikasikannya dalam kehidupan seharian..kena alert anything happen surrounding us..not only focus on our majoring...dan tak boleh sempitkan fikiran..


Secara konklusinya, sentiasalah berfikiran secara kritis, rasional dan kreatif dalam apa jua keadaan walau di mana kita berada. Jangan jemu menuntut ilmu kerana tak rugi walau sebesar zarah sekalipun. Ingatlah, ALLAH s.w.t sentiasa memartabatkan orang yang berilmu..sekian, wassalam.






Sunday, September 27, 2009

EPISOD 21 - SALAM AIDILFITRI

Istimewa untuk kesemua di bawah:
-ahli keluargaku
-sanak saudaraku sebelah ibu dan ayah
-guru-guru dan pensyarah dari aku tadika hingga kini
-para pengasuhku
-kawan2 seperjuangan ilmu di Tadika Q-Z, SK Tmn Segar, SK All Saints, SMK Bukit Jana, Kolej MARA Kuala Nerang, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Kebangsaan Malaysia
-kawan2 kerja dan bos / majikan di Lead Keng Electronics Sdn. Bhd, KPDNHEP Taiping, SM Teknik Taiping, Unit Perancang Ekonomi Putrajaya dan RA UKM
-rakan2 pendebat dan pemidato
-lain-lain pihak

Assalamualaikum dan salam ukhwah;

Dengan ingatan tulus ikhlas dari NORZANITA BINTI MUHAMAD MUHKTAR, saya dedikasikan SALAM AIDILFITRI khas buat anda semua. Di kesempatan ini, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas segala kekhilafan peri laku saya secara tersurat mahupun tersirat kepada anda jika ada yang yang terguris rasa dan terkasar bahasa. Ampunkan saya, sesungguhnya saya hanyalah insan kerdil yang serba kekurangan.

Alhamdulillah, berkat kesabaran dalam menempuh segala ujian yang diberi, saya diberi kesempatan untuk menikmati suasana hari raya tahun ini. Saya bersyukur yang teramat sangat di atas segala rezeki yang dikurniakan Ilahi. Terpahat dalam sejarah hidupku, hari raya tahun ini adalah yang terbaik. Dek kerana dapat menyediakan segala kelengkapan perayaan buat seluruh ahli keluargaku, dapat bersedekah kepada sanak saudara dan yang penting dapat beraya dan menjamu selera bersama keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga.

Wednesday, August 26, 2009

EPISOD 20 - LUAHAN RASA


Aku faham semua orang sibuk dengan kerja masing-masing. Baik yang masih belajar apatah lagi yang bekerja.Tidak terkecuali diriku yang taklah sesibuk kawan-kawan yang lain. Cuma belajar dan bekerja setiap hari di bumi UKM tercinta ini. Tujuan aku menulis kali ini adalah untuk meluahkan apa yang tersurat di hati dan tersirat di mata orang lain. Betul..tak baik mengeluh serta merungut di bulan yang mulia ini. Tapi apakan daya, aku cuma insan biasa yang tidak punya apa-apa. Jadi, apa yang aku mampu lakukan di saat ini adalah berkongsi rasa baik suka mahupun duka bersama sahabat setia, iaitu blog kesayanganku ini. Bukan sekali aku menghebahkan informasi mengenai peristiwa yang aku rancangkan kepada kawan-kawan semua. Semua medium aku gunakan, mesej melalui telefon, emel, pesanan ringkas, blog peribadi, laman mencari kenalan dan sebagainya. Tapi malangnya, semuanya seolah-olah hanya disapa angin yang lalu. Tiada respon positif diterima sehingga kini. Boleh dikatakan hanya 10% sahaja yang mengambil berat akannya. Bukan mudah merencana sesuatu apatah lagi melaksana dan menjdikannya realiti. Ya...kita hanya mampu merancang, Yang Maha Berkuasa yang menentukannya. Aku bersabar dan aku redha akan ketentuan semua ini. Andai aku diberi peluang kedua, secara jujurnya aku akan berfikir dua tiga kali dek kerana kepahitan yang aku rasakan kini. Tetapi, sekiranya aku juga yang diamanahkan memikul beban galas ini demi kemaslahatan bersama..aku sanggup ketepikan rasa pahit yang melanda kerana masih terselit rasa manis, masin, kelat dan sebagainya di sebaliknya. Baiklah, aku perlu melunaskan amanahku, tuntutan seorang yang bergelar pelajar demi mendapat segulung lagi ijazah buat diri ini..sekian, terima kasih kerana sudi mendengar luahan ini. Lega rasanyer..(^.^)

Tuesday, August 25, 2009

EPISOD 19 - BUKAN SENANG NAK JADI SENANG

Si ayah : "Bukan senang nak jadi senang" along..
Si anak : Maksudnya ayah?
Si ayah : Apa yang kita lalui kini semuanya dugaan dari Yang Maha Esa untuk menguji sejauh mana kuatnya iman kita, sabarnya kita dan yang pasti
ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Sabar ya long..ayah tau apa
yang along rasakan sekarang. Ayah tau along kuat kan?

Si anak : Ayah, along minta maaf..sebab pagi tadi along tak salam tangan
ayah..Sebab tu jadi macam ni..(sambil teresak-esak)

Si ayah : (Merenung si anak dengan penuh simpati lantas memberi reaksi
mengangguk)

Si anak : Terima kasih ayah!
Si ayah : Sama-sama nak..Sudah..Jangan kusutkan fikiran..Yang penting along
istirehat..

Si anak : Baik yah..

Demikianlah imbasan peristiwa setahun yang lalu..Antara nasihat dan ingatan daripada ayahanda tercinta untukku. Terima kasih ayah! Pantas sungguh masa berlalu pergi..Sedar ataupun tidak, setiap ujian hebat yang kita terima pasti mempunyai hikmah di sebalik kejadian. Mungkin ada yang terbaik untuk kita suatu hari nanti! Apa yang pasti, USAHA + DOA = TAWAKAL = INSYAALLAH, BERJAYA!

Sunday, August 23, 2009

EPISOD 18 - RAMADHAN AL-MUBARAK

Hayatilah.......


Tiada hari seindah Jumaat,
Tiada kata seindah zikir,
Tiada ibadah seindah solat,
Tiada bulan seindah Ramadhan

Wahai tetamu Ramadhan,
Untukmu rahmat dan maghfirah,
air mata taubat,
dendangan tadarus,
selimut tarawih,
berbantalkan tahajud,
moga mewarisi jannah...

Sebening air wudhu',
Sesuci bacaan al-Quran,
Semerdu alunan zikir,
Seindah solat 5 waktu,
Setenang hati yang tiada rasa benci & dendam
Jika tangan tak sempat berjabat,
Jika wajah tak sempat bertatap
Bukakanlah pintu kemaafan buatku..

Ya Allah,
Bantulah sahabatkuu untuk mengerjakan puasa dan ibadah malamnya,
Jauhkanah ia daripada dosa-dosanya dan,
Berilah ia zikir untuk mengingatiMu secara berterusan..

Tirai Syaa'ban sudah menghilang,
Jendela Ramadhan mula menyapa,
Cahaya kemuliannya semakin bersinar di hati insani yang setiamenenti janji Ilahi
Semoga mendapat rahat pada permulaan,
Pengampunan pada pertengahan dan
dihindari azab neraka pada penghujungnya..

Sabda Rasululullah s.a.w:
"syaitan berjalan di dalam diri anak Adam melalui saluran darah, oleh itu persempitkan saluran itu dengan lapar".

Ramadhan al-Mubarak..
Kedatanganmu senantiasa dinantikan,
Keberkatan imu, amal & iman,
Sinarmu cahaya kecerahan,
Memberi rahmat setiap insan,
Mengutuhkan aqli dan nakli,
Jasmani dan rohani,
Perpaduan ummah dibinajaga,
Kerahmatan dari Yang Maha Esa..
Kini tiba bulan mulia melimpahi tahmat jiwa manusia,
Ramadhan..keinsafan, kemuliaan dan keredhaan..

Kesemua kata-kata indah di atas dikirimkan oleh saudara mara serta sahabat handai yang berada disekitarku..Alhamdulillah, kita masih diberi peluang bernafas sehingga ke saat ini serta berpeluang menerima kunjungan tetamu Ramadhan sempena 1430 Hijrah. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama memanfaatkan bulan yang penuh barakah ini dengan memperbanyakkan berzikir, membaca al-Quran, melakukan solat-solat sunat serta pelbagai ibadah terpuji yang lain. Moga kita ditempatkan bersama golongan terpuji dan mendapat tempat di sisiNya. InsyaALLAH.

p/s: Terima kasih kepada k.yus, k.zila, k.ira, pn.rozita, k.yati, aynor, mukhriz, erny, rara, ain, fara, intan, rin, yat, ayu,kidot, nisa, zu, roby, rizal, k.sha, k.som, dayah, ema, mak long yan dan lain-lain yang mengutuskanku salam Ramadhan.

Tuesday, August 11, 2009

EPISOD 17 - PANDEMIK WABAK BERJANGKIT

Seperti yang semua sedia maklum, seluruh dunia kini panik dengan kehadiran wabak Virus Influenza A (H1N1) (Selesema Babi atau Swine Flu). Menurut Kementerian Kesihatan, Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh sejenis virus baru yang terhasil dari mutasi gene virus influenza babi, burung dan manusia.

Simptom Virus Influenza A (H1N1) ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan. Jadi, jika anda mempunyai simptom-simptom seperti yang dinyatakan, eloklah kiranya mengambil inisiatif terbaik iaitu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Sehingga 10 Ogos 2009, seramai 32 orang rakyat Malaysia telah dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan virus ini. Angka ini telah cukup menggambarkan bahawa negara kita kini berada dalam zon merah. Jangan pandang enteng akan perkara ini! Hargailah nyawa anda!

Tapi berdasarkan pemerhatian saya sehingga saat ini, masih ramai rakyat Malaysia yang menganggap isu ini sebagai isu picisan. Ketika saya bersesak-sesak di dalam pengangkutan awam dan tempat orang awam membeli-belah dengan memakai topeng keselamatan, ada yang memandang sinis akan saya. mungkin ada yang beranggapan saya adalah seorang yang berpenyakit...mungkin salah seorang pembawa virus tersebut.Tidak ramai yang memakai topeng tersebut di tempat-tempat awam. Ingatlah kalian, "Mencegah lebih baik daripada mengubati".

Sedikit tips untuk mencegah wabak berjangkit ini:
1) Banyakkan meminum air kelapa, air limau, air susu dan air buah-buahan
2) Menjaga kebersihan diri
3) Elakkan daripada mengunjungi tempat-tempat awam tanpa memakai perlindungan diri
4) Mengamalkan gaya hidup yang sihat
5) Sekiranya baru pulang dari luar negara, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut

Marilah sama-sama kita berdoa supaya dikurniakan kesihatan yang baik dan terhindar jauh dari wabak penyakit berjangkit ini. InsyaALLAH..





Monday, August 10, 2009

EPISOD 16 - MEMASUKI ALAM PEKERJAAN

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman yang baru saja saya alami. Ingin menjawat antara satu jawatan tertinggi dalam Kerajaan bukannya mudah sekiranya tiada daya usaha yang jitu. Menjadi seorang pemimpin juga memerlukan ilmu yang tinggi tentang pelbagai perkara. Bukan khusus kepada sesuatu perkara. Oleh hal sedemikian, Allah s.w.t. meninggikan martabat seseorang insan itu berasaskan ilmu yang dimiliki.

Pengurusan masa yang bijak penting sekali untuk memajukan diri. Aku bangun awal pagi seperti biasa. Menunaikan suruhan Ilahi dan berserah segalanya kepadaNya. Kemudian, bersiap sedia untuk menuju ke medan peperangan minda. Ingin menguji tahap ilmu yang dimiliki. Dari segenap aspek diuji, baik tentang negara sendiri, alam sekeliling, daya menyelesaikan masalah, sejauhmana tahap kefahaman yang dipunyai mahupun pengolahan isu yang diberi menggunakan bahasa ibunda dan asing.

Setelah bertungkus-lumus menyelesaikan segala cabaran yang diberi, sementelahan itu aku kembali ke medan ilmu untuk melaksanakan tanggungjawab yang dipikul kini. Seharian berhempas pulas memerah otak, akhirnya aku nyenyak terlena diselangi dengkuran mungkin kerana kepenatan yang teramat sangat. Lalu tirai mimpi pun berlabuh meninggalkan hari yang penuh bermakna berlalu pergi memberi izin kepada hari baru menjengah tiba.

Friday, August 7, 2009

EPISOD 15 - ???


Kenapa ya?

Satu persoalan yang sering diutarakan. Adalah baik untuk seseorang itu mencari mekanisme penyelesaian kepada persoalan yang timbul. Bukannya menunggu sahaja jawapan penyelesaian tanpa berusaha dan asyik mempersoalkan kebenaran atau ketidakpastian sesuatu. Masakan mahu menunggu sahaja bintang yang berkerlipan cantik di langit gugur sendiri ke atas telapak tangan sendiri tanpa memikirkan cara terbaik untuk memperolehnya. Pasti ada jalan terbaik untuk diadaptasi sekaligus menyelesaikan masalah yang timbul. ..

Thursday, August 6, 2009

EPISOD 14 - SELAMAT MENYAMBUT HARI NISFU SYA'BAN

Assalamualaikum w.b.t kepada semua pembaca;

"Bila aku kesepian
Hiburlah aku dengan suaramu
Bila aku sakit
Ubati aku dengan rasa kasih sayangmu
Bila aku mati
Jangan mandikan aku dengan air matamu
Siramkanlah dengan air mawar
Bila aku terkubur
Kuburlah aku dalam hatimu selalu
Kalau aku berdosa padamu secara sedar ataupun tidak
Selamatkanlah aku dengan maafmu"


Salam nisfu sya'aban buat semua...

Antara kelebihan bulan Sya'aban:

1. Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Sya'aban maka Allah haramkan tubuhnya dari api neraka dan dia akan menjadi teman kpd nabi Allah Yusof didalam syurga.

2. Riwayat dari Osman Bin Abi Al-As, Sabda Nabi Muhammad (saw) : pada malam nisfu sya'aban setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turun ke langit dunia lalu berfirman : adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintannya, adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka aku terima taubatnya dan diampunkan semua orang mukmin lelaki & perempuan , melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya.

3. Sebaik-baiknya minta ampun dengan ibubapa sebelum hari nisfu sya'aban kerana amalan kita akan terhalang dari diangkat ke langit sekiranya kita derhaka/berdosa dengan ibubapa kita.

Selamat beramal...(^.^)







Thursday, July 30, 2009

EPISOD 13 - MENARA TERTINGGI DI DUNIA


Kali ini saya ingin mengajak kalian untuk meng'update' info umum masing-masing berkenaan senarai menara tertinggi di dunia. Cuba lihat gambar di atas sekali lagi...Our twin tower di apit di kanan dan kiri. Inilah yang dikatakan, kecil-kecil cili padi..walaupun Malaysia sebuah negara yang kecil, namun kebolehan memiliki dan membina bangunan pencakar langit juga tidak kurang hebatnya.

Berikut merupakan senarai terkini 'ranking' menara tertinggi di dunia:

1) Burj Dubai, Dubai, United Arab Emirates - 818 m (2009)
2) Taipei 101, Taiwan - 509 m (2003)
3) Shanghai World Financial Center, China - 474 m (2008)
4) Petronas Tower, Malaysia - 452 m (1998)
5) Nanjing Greenland Financial Center, China - 450 m (2009)

Pemilihan menara tertinggi ini dibuat berdasarkan kategori CTBUH iaitu terdiri daripada:

1) Date / event
2) Architectural top
3) Highest occupied floor
4) Rooftop
5) Antenna

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web wikipedia. Sekian..

Tambahan info: Menara Kuala Lumpur, Menara Telekom & Menara Maybank turut berada di dalam senarai 100 menara tertinggi di dunia.


Thursday, July 23, 2009

EPISOD 12 - SEKADAR MENGISI MASA LAPANG

Saya ada seorang kawan. Cukup sekadar menamakannya sebagai Neez. Beliau seorang yang tabah saya kira. Cekal dalam menghadapi sebarang ketentuan Ilahi. Bukan kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang menjadi bahan bermegah diri. Tetapi menggunakan kelebihan dan keistimewaan yang ada di dalam diri demi amanah Ilahi. Walaupun pada usia lewat remaja, kematangan yang dimiliki ibarat sudah beranak lima. Tidak pernah sekalipun di depan mata saya, beliau menitiskan air mata. Hanya senyuman yang terukir dan ikhlas diberi. Kadangkala saya terfikir, adakah beliau tidak memiliki sebarang perasaan. Namun perkara itu adalah mustahil bagi insan seperti kita. Beliau bijak menyesuaikan diri walau di mana berada. Mudah didampingi dan digauli. Mudah memberi pendapat, membantu insan yang memerlukan pertolongan serta suka berbakti buat kemaslahatan sejagat. Mungkin beliau tidak mahu menyusahkan saya, rakan-rakan dan orang sekitarnya. Mana mungkin boleh selesaikan masalah seorang diri dengan jayanya. Baik masalah minor mahupun major. Walau apa tanggapan yang kita berikan, kita masih tidak pasti akan kebahagiaan beliau. Bahagia atau sengsara? Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Hanya di syurga idaman tiada masalah melanda. Mungkin mendiamkan diri baginya cara terbaik menyelesaikan konflik yang menimpa diri. Tangisan dalam hati yang sukar dimengerti. Sehinggakan titis air mata membeku di kelopak pandangan. Buat Neez, saya bersedia menjadi teman di kala suka dan duka anda. Mahupun luahan rasa dan derita juga jika tidak keberatan. Elok kiranya kita berkongsi rasa demi kebaikan bersama. Jangan bebankan diri dengan aneka ragam manusia di dunia. Kekalkan usahamu ke arah menjadi anak yang solehah, pendidik yang berjaya mengacu minda anak bangsa dan seorang hamba yang bertaqwa.

Sunday, July 19, 2009

EPISOD 11 - SEDAPNYER...MMM..YUMMY3X






semua coklat ni kalau dah habis makan isinya, boleh dimakan kotak / bekasnya terus...
tapi sayangnya nak makan, comel bangat!!!

Saturday, July 18, 2009

EPISOD 10 - 9 PEMBAZIRAN TANPA DISEDARI...

Ibnu Qayyim al-Jauziyah, ulama dan tokoh gerakan dakwah Islamiah ialah murid ulama terbilang, Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah. Beliau mempunyai banyak karya ilmiah yang menjadi panduan dalam gerakan dakwah Islam. Ibnu Qayyim dilahirkan pada tahun 691 Hijrah (1292 Masihi) dan meninggal dunia pada 751 Hijrah (1350 Masihi).

Menurut beliau, terdapat 9 pembaziran yang sering dilakukan oleh manusia tanpa kita sedari iaitu:

1) ILMU PENGETAHUAN
Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan

2) AMALAN
Membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas

3) KEKAYAAN
Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredhai Allah s.w.t

4) HATI
Membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah s.w.t

5) TUBUH BADAN
Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah s.w.t

6) CINTA
Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah s.w.t atau melebihi cinta kepadaNya

7) MASA
Membazir jika tidak diurus sebaiknya

8) AKAL
Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna untuk agama

9) ZIKIR
Membazir jika tidak memberi kesan kepada hati

Info tambahan untuk kalian:

* Waktu tidur yang lebih baik adalah pada pertengahan malam yang awal iaitu kira-kira jam 10 malam.

* Waktu yang tidak seharusnya kita tidur adalah selepas Subuh sehingga terbit fajar, waktu selepas Asar sebelum terbenam matahari dan dari waktu Maghrib ke Isyak.

*Tidur pada waktu itu tidak memberi manfaat kepada tubuh badan, malah boleh mendatangkan kemudaratan dan makruh hukumnya.

Friday, July 17, 2009

EPISOD 9 - JASAMU DOKTOR!

Saya baru sahaja selesai menonton siri pasukan kedoktoran Jepun iaitu 'Team Medical Dragon'. Dengan kuasa selaku penonton yang ada pada saya, saya dengan besar hatinya memberikan lima bintang ke atas keseluruhan cerita ini. Pelbagai kisah tragis, suka, mencabar dan detik-detik cemas dipaparkan menerusi siri ini. Sungguh menarik...Menceritakan pengorbanan para doktor yang berdedikasi dan bijaksana sepanjang menjalankan tugas merawat pesakit. Kebanyakan adegan menggambarkan situasi di bilik pembedahan dan menunjukkan proses pembedahan satu persatu, serta membolehkan kita mengetahui banyak info kesihatan jantung terutamanya.

Bila menonton siri ini, ianya mengembalikan aku kepada kenangan sewaktu pertama kali aku memasuki dewan pembedahan. Hampir setahun yang lalu, segalanya berlaku dengan pantas. Lebih kurang jam 3.40 petang (26 Ogos 2008), aku terlibat dalam satu kemalangan jalan raya betul-betul dihadapan pintu pagar sekolah (tempat aku berbakti sebagai guru ganti). Aku segera dikejarkan ke hospital akibat kecederaan yang agak teruk di kaki sebelah kananku. Terima kasih kepada 'abang' yang tidak aku kenali yang baik hati beserta anak murid, guru-guru dan orang awam yang membantu aku ketika itu. Selamat tiba di hospital, aku dimasukkan ke ICU akibat kehilangan darah yang banyak, tidak boleh berjalan dan pernafasan yang tidak teratur. Lantas aku diX-ray dan dirawat. Pada malam kejadian, tepat jam 11 malam, jururawat memberitahu aku supaya bersiap sedia untuk dibedah. Ketika asyik menghitung detik bersejarah itu, aku mohon bantuan ibuku untuk bangun dari pembaringan. Sebaik sahaja aku bangun, aku terus pengsan. Pertama kali aku pengsan dalam hidup. Terdengar sayup-sayup suara ibu, jururawat, doktor memanggilku. Aku dengar tapi tak terdaya nak menyahut penggilan mereka. Aku terdengar mereka menyatakan yang denyutan jantungku semakin lemah dan tekanan darahku terlalu rendahh. Lalu aku dikejarkan ke bilik pembedahan dengan segera. Tubuhku yang kaku ketika itu dirawat oleh beberapa orang doktor dan jururawat yang setia menemani. Aku dibius separuh badan dan aku dapat merasakan seperti mereka semua bertungkus-lumus ibarat membina sebuah rumah. Sehinggalah bulan Jun yang lalu, aku masih ulang alik ke hospital dan klinik untuk rawatan lanjut. Terima kasih, doktor..jururawat...Jasa kalian tidak dapat ku balas sampai bila-bila.. Mereka yang tidak jemu memberi nasihat, merawat luka, membersihkan kuman dan macam-macam lagilah.

Ekoran kejadian malang tersebut, ALLAH S.W.T. telah menarik nikmat berjalan dan makanku kira-kira 3 bulan. Aku hanya bergerak berbantukan sepasang tongkat (RM 70) dan sebuah kerusi roda. Ibu, ayah dan adik-adik yang tak jemu mengurus aku sepanjang aku terlantar kesakitan. Tapi aku sedar yang semua yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Hanya perlu sabar dan terus bertaqwa kepadaNya.

Eh, taknak cerita sedih..Memang jasa doktor dan jururawat ini tak terbalas dek kita walau dengan bergunung-gunung emas sekalipun. Sama dengan siri cerita ini, seorang pakar bedah yang berjaya mementingkan keselamatan pesakitnya terlebih dahulu berbanding dirinya. Walaupun ada sahaja manusia di sekeliling yang membantah keputusannya..tetapi demi 1 nyawa yang sangat berharga..apa pun sanggup dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Bukan wang ringgit atau gaji lumayan yang menjadi ukuran..Murninya kerjaya seorang doktor!

Teringin pula nak jadi doktor! Dulu tak nak belajar rajin-rajin..Padan muka..Tapi takpe, peluang untuk jadi DR. ZANITA masih terbuka luas..Jangan sia-siakan..Walaupun tak dapat bedah orang, berbakti untuk rakyat dan negara melalui kepakaran dalam ekonomi..OK jugak..He he..

Moral of the story: TONTONLAH CERITA INI! MENARIK BANGAT!!!

Thursday, July 16, 2009

EPISOD 8 - PERUBAHAN

Setiap manusia akan mengalami 'PERUBAHAN' dalam kehidupan. Tak kiralah perubahan dari segi apa sekalipun..perubahan fizikal, mental, citarasa dan sebagainya. Baik perubahan secara positif mahupun negatif. Sehinggakan kadang-kadang ada individu yang tidak sanggup menerima perubahan yang berlaku lantas berfikiran singkat dalam membuat keputusan lalu menjejaskan kesihatan diri dan orang di sekelilingnya. Seksa dirilah, bunuh diri, menipu dan ada juga yang insaf akan perbuatan sebelumnya. Pelbagai respon diberikan ekoran perubahan yang dialami. Tetapi sedar ataupun tidak, tanpa adanya PERUBAHAN..life is not challenging my dear..tidaklah kita asyik melakukan perkara yang sama setiap hari. Betuk tak? Jadi, nasihat saya kepada kawan-kawan, kita jangan sesekali melawan arus perubahan tersebut..cuba analisis secara terperinci akannya. Tidak semua perubahan itu membawa kemudaratan pada diri, mungkin sesuatu perubahan itu perlu untuk kita menjadi lebih baik dari sekarang. Yang baik kepada lebih baik..Kalau kita selalu minum ais selepas makan, kita kena buat perubahan iaitu minum air suam selepas makan. Taklah lemak-lemak yang kita makan tadi beku atau tidak larut dalam badan. Selain melancarkan proses pencernaan kita, kesihatan jantung kita pun turut terjamin. Yang ini salah satu contoh perubahan kecil tapi impaknya besar dalam jangka masa panjang. Renung-renungkan..Sekian, selamat beramal..(^.^)

Wednesday, July 15, 2009

EPISOD 7 - ONE MALAYSIA


Salam semua..

Seperti sedia maklum, satu konsep baru telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Keenam, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:

“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

Bagi merealisasikan konsep 1 Malaysia ini, kita semua perlu menerapkan 8 nilai-nilai murni berikut dalam kehidupan seharian:

1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

Ayuh, marilah kita sama-sama bangkit memartabatkan perpaduan negara Malaysia! Seluruh dunia kenal akan Malaysia yang kaya dengan rakyat pelbagai kaum. Memang sukar dan kompleks untuk mencapai perpaduan 100% kerana perbezaan mentaliti, agama, ras dan sebagainya. Tetapi, jika kita semua seramai 28 juta populasi Malaysia baik rakyat mahupun pemimpin sependapat berganding bahu memajukan negara tercinta..tidak mustahil untuk kita maju seia, sekata sehati & sejiwa.

Tuesday, July 14, 2009

EPISOD 6 - BAHAGIAKAH ANDA???

Seronok bila dengar orang di sekeliling kita bahagia.

Secara tak langsung kita pun turut bahagia..

Jangan sesekali mengeluh yang kita tak bahagia..

Kadangkala kebahagiaan di dalam diri kita tersorok..

Jadi kita kena cari sampai jumpa..

Macam main hide & seek..

He he..

Yang penting kita kena berusaha demi mendapat kebahagian..

Baik di dunia mahupun akhirat..

Sama-samalah berusaha!!!

Saturday, July 4, 2009

EPISOD 5 - REUNION KELAS 4/5 SC1/2 BATCH 2002/2003 SMKBJ


Tak sabar rasanya nak jumpa kawan-kawan lama. Pejam celik2x, dah 6 tahun meninggalkan zaman persekolahan. Banyak kenangan pahit manis sepanjang bergelar pelajar sekolah. Dan antara kawan yang masih keep in touch sampai skarang is kengkawan kelas form 4 & 5 dulu..So, disebabkan saya agak free sedikit, saya ambil kesempatan untuk meng'organize' reunion kali kedua ini. Alhamdulillah, kesemua keputusan telah pun diambil oleh saudari Zanita setelah buat survey ke atas kawan2..hasilnya:

TARIKH : 23 SEPTEMBER 2009 (RABU)
MASA : 8.00 MALAM
TEMPAT : HOTEL SERI MALAYSIA TAIPING
ACARA : BBQ TEPI POOL + GAMES
TEMA : MERAH / HITAM
BAYARAN : RM 3O SEORANG (sblm 20 Ogos 2009)

Setakat ini, saya dapat respon positif dari kawan2..hopefully, perancangan ini berjaya!


Wednesday, July 1, 2009

EPISOD 4 - CATATAN HARIANKU

Catatanku buat 30 Jun 2009 (Selasa):

1. bangun subuh awal hari ni n bersiap utk ke opis di pagi hari
2. bertapa tunggu bas sehingga merenik peluh di dahi
3. berjalan kaki tanda exercise di waktu pagi demi menjaga kesihatan diri
4. sampai di opis, terduduk senyap akibat lesu melanda diri
5. mulakan tugas yang diamanahkan kepada diri ini
6. berjumpa junior dan kawan sekuliah di universiti
7. melarikan diri mencari rezki pabila perut rancak berbunyi
8. mengisi tembolok sehingga penuh diisi
9. mengabdikan diri seketika di rumah Ilahi seorang diri
10. mengganggu kawan-kawan di sekeliling sesuka hati
11. beralah awal mengundur diri
12. pulang ke kolej tanpa ditemani
13. di kolej lain kawan menanti
14. berkongsi ilmu pelengkap diri
15. sehingga aku terdampar lesu di sini
16. ekoran hari yang silih berganti
17. berputar waktu bersilih ganti
18. kerap kita alpa pada diri
19. eloklah sentiasa ingat-mengingati
20. semoga kita diberkati!

mengarang time ngantuk nih...

Monday, June 29, 2009

EPISOD 3 - BALIK KAMPUNG!

Owhyeaa..masa untuk bercerita! Penat sangat hari ini sebab mengharungi tempat yang penuh dengan lautan manusia. Aku baru sahaja pulang dari kampung halaman.Nasibku baik kerna kini merupakan musim buah-buahan. Sedozen aku menjamah buah-buahan yang pelbagai jenis. Rambutan, durian, langsat, manggis dan sebagainya..Nikmatnya...Menjenguk ayah, mak dan adik. Alhamdulillah, mereka kesemuanya sihat kecuali ibuku. Aku berasa sedih kerana ibuku baru sahaja disahkan menghidap sejenis penyakit yang tak kurang juga bahayanya. Beliau terpaksa berpantang makan dan minum demi menjaga kesihatannya. Berat rasa hati meninggalkan kampung halaman tengahari tadi..tapi apakan daya..aku terpaksa demi kerjaya dan pelajaranku. Bukan mengabaikan keluarga tetapi bekerja dan menuntut ilmu demi keluarga tercinta. Kini, aku hanya mampu berdoa kehadrat Ilahi demi kesejahteraan seluruh ahli keluargaku.

Aku tiba di bumi KL tepat jam 4 petang dan aku teruskan perjalanan ke Bangi. Malangnya, tren rosak dan aku telah menghabiskan masa selama 1 jam menunggu tren yang akan membawa aku ke destinasiku. Tekad mengharungi lautan manusia yang tak pernah surut. Tak kurang hebat sambutan rakyat Malaysia terhadap penggunaan kenderaan awam di Malaysia. Sehingga terpaksa menaikinya, bersesak-sesak bersama dan bertali arus peluh keringat. Janji sampai ke rumah atau pejabat tepat pada waktunya. Aku juga tak terkecuali berpusu-pusu dan hilang sebentar kesopanan untuk meredah lautan manusia tersebut sehinggalah aman dan damai tiba. Disebabkan tujuh jam berada di jalanan, perutku berkeroncong meminta diisi. Sampai sahaja di kolej kediamanku, tiada satu pun kedai yang sudi menawarkan perkhidmatannya kepada kami dalam waktu terdekat ini. Dan sebagai penyelesaianya, mi segera menjadi pilihan merangkap menu terhebat di saat kelaparan. Akhir sekali, masa untuk melabuhkan tirai mimpi!

Friday, June 26, 2009

EPISOD 2 - AN APPLE A DAY, KEEP A DOCTOR AWAY




Ok everybody..today i would like 2 share wit u a little bit info about an apple which ev various benefit if we eat it everyday.Based on d title above, dis post tell u the value of an apple as shown below..

1. reduce d risk of colon cancer, lung cancer, prostate cancer
2. prevention of dementia (brain)
3. controlling cholesterol level
4. help with bone health
5. prevention of overweight
6. neuralize our face so we will be alwez as 'awet muda'
7. help our digestion process
8. act as body cleaner
9. anti teeth problems
10. fat balancing

After analyze ol of dis, it's shows dat there are a lot of benefits we get from an apple whether it is a real fruit, juice, jam and so on..so let's get it now..

mmm....yummy2x..


Apples, with skin (edible parts)
Nutritional value per 100 g (3.5 oz)
Energy 50 kcal 220 kJ
Carbohydrates 13.81 g
- Sugars 10.39 g
- Dietary fiber 2.4 g
Fat 0.17 g
Protein 0.26 g
Vitamin A equiv. 3 μg 0%
Thiamine (Vit. B1) 0.017 mg 1%
Riboflavin (Vit. B2) 0.026 mg 2%
Niacin (Vit. B3) 0.091 mg 1%
Pantothenic acid (B5) 0.061 mg 1%
Vitamin B6 0.041 mg 3%
Folate (Vit. B9) 3 μg 1%
Vitamin C 4.6 mg 8%
Calcium 6 mg 1%
Iron 0.12 mg 1%
Magnesium 5 mg 1%
Phosphorus 11 mg 2%
Potassium 107 mg 2%
Zinc 0.04 mg 0%
Percentages are relative to US
recommendations for adults.
Source: USDA Nutrient database

Thursday, June 25, 2009

EPISOD 1 - SALAM PERKENALAN


Salam perkenalan buat kalian! Tanggal 25 Jun 2009, maka bertambahlah jumlah seorang lagi blogger di dunia. Alhamdulillah, walaupun kesibukan melanda diri, insan ini tetap diberi peluang untuk bergiat aktif di alam maya. Dunia yang kini serba canggih dengan laman sesawang tanpa batasan tempat, waktu dan jarak faktor utama insan ini turut berminat untuk berkongsi idea dan menimba ilmu seadanya. Hidup blogger!!!

Secebis bingkisan buat tatapan:

Beberapa hari yang lepas, tatkala asyik mengelamun memikirkan masa hadapan tiba-tiba mataku tertumpu ke suatu sudut kawasan awam. Kelihatan seorang gadis sedang duduk berkomunikasi dengan telefon bimbitnya di tepi laluan orang ramai. Gadis itu kelihatan sempurna di mataku. Memiliki rupa paras yang menarik dan terserlah keayuannya. Malang sekali, kesempurnaan zahir yang kulihat tidak menjanjikan kesempurnaan gadis itu sebenarnya. Gadis itu terus menjadi perhatian orang awam di sekitar kawasan tersebut. Dek kerana cara berkomunikasi yang berlainan berbanding insan sempurna. Gadis itu cekap menggunakan bahasa isyarat tangannya dan terus-terusan berhubung dengan insan di sebalik telefon bimbitnya. Walaupun ada kekurangan, gadis itu tidak segan silu untuk meneruskan aktivitinya dan kelihatan sangat gembira dengan apa yang dibualkan. Terbukti bahawa golongan yang kurang bernasib baik juga berpeluang memanfaatkan alat komunikasi moden pada hari ini untuk keceriaan dan kelangsungan hidup. Setelah 15 minit aku kaku di tempat duduk kerana asyik memerhatikannya, aku terus menginsafi diri. Kita harus bersyukur terhadap semua ketentuan Ilahi. Ada hikmah di sebalik semua kejadian yang menimpa diri dan sekeliling kita. Alhamdulillah.