Tuesday, August 11, 2009

EPISOD 17 - PANDEMIK WABAK BERJANGKIT

Seperti yang semua sedia maklum, seluruh dunia kini panik dengan kehadiran wabak Virus Influenza A (H1N1) (Selesema Babi atau Swine Flu). Menurut Kementerian Kesihatan, Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh sejenis virus baru yang terhasil dari mutasi gene virus influenza babi, burung dan manusia.

Simptom Virus Influenza A (H1N1) ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan. Jadi, jika anda mempunyai simptom-simptom seperti yang dinyatakan, eloklah kiranya mengambil inisiatif terbaik iaitu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Sehingga 10 Ogos 2009, seramai 32 orang rakyat Malaysia telah dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan virus ini. Angka ini telah cukup menggambarkan bahawa negara kita kini berada dalam zon merah. Jangan pandang enteng akan perkara ini! Hargailah nyawa anda!

Tapi berdasarkan pemerhatian saya sehingga saat ini, masih ramai rakyat Malaysia yang menganggap isu ini sebagai isu picisan. Ketika saya bersesak-sesak di dalam pengangkutan awam dan tempat orang awam membeli-belah dengan memakai topeng keselamatan, ada yang memandang sinis akan saya. mungkin ada yang beranggapan saya adalah seorang yang berpenyakit...mungkin salah seorang pembawa virus tersebut.Tidak ramai yang memakai topeng tersebut di tempat-tempat awam. Ingatlah kalian, "Mencegah lebih baik daripada mengubati".

Sedikit tips untuk mencegah wabak berjangkit ini:
1) Banyakkan meminum air kelapa, air limau, air susu dan air buah-buahan
2) Menjaga kebersihan diri
3) Elakkan daripada mengunjungi tempat-tempat awam tanpa memakai perlindungan diri
4) Mengamalkan gaya hidup yang sihat
5) Sekiranya baru pulang dari luar negara, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut

Marilah sama-sama kita berdoa supaya dikurniakan kesihatan yang baik dan terhindar jauh dari wabak penyakit berjangkit ini. InsyaALLAH..





No comments:

Post a Comment