Tuesday, March 9, 2010

EPISOD 26 - MENZIARAHI ORANG YANG SAKIT

Salam hormat buat semua..

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi kesempatan untuk menulis kali ini. Saya baru sahaja pulang menziarahi seorang sahabat lama yang menghidap barah otak. Seusia denganku, begitu tabah dan masih mampu tersenyum menyambut kedatanganku. Walaupun aku lihat ada cahaya kesedihan di ruangan matanya, sekurang-kurangnya aku dapat menggembirakan hatinya buat seketika cuma. Hanya 10 minit kami bersua muka. Semoga Kau panjangkan usianya serta permudahkanlah segala urusannya..

Untuk renungan bersama:

Diriwayatkan Imam Ahmad: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa mengunjungi orang sakit, tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan memintakan ampun kepadanya hingga petang. Baginya pahala satu tahun di syurga. Dan jika ia mengunjunginya pada malam hari, maka tujuh puluh ribu malaikat mengikutnya dan semua memintakan ampun untuknya hingga pagi. Dan baginya pahala satu tahun di syurga."

Daripada Anas bin Malik pula mengungkapkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa berwuduk dengan sempurna lalu berkunjung kepada saudaranya yang sakit semata-mata mengharap reda Allah, ia akan dijauhkan daripada api neraka sejauh perjalanan 60 kharif (satu kharif bersamaan dengan satu tahun)."

Sementara Abu Hurairah menyatakan Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa berkunjung kepada saudaranya yang sakit, maka seseorang menyeru dari langit: Beruntunglah engkau, beruntunglah perjalananmu dan sungguh engkau sudah membangun rumah di syurga."

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain itu ada lima iaitu menjawab salam, menjenguk orang sakit, mengiring jenazah, memenuhi undangan dan menjawab doa orang bersin." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap insan tak lari dari diduga Ilahi. Hari ini kita bersenang-senang dengan nikmatNya..Hari
esok mungkin nikmat tersebut ditarik kembali. Sentiasalah berdoa dan mengingati ALLAH s.w.t kerana daripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali. Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment